PERUTUSAN KHAS YAB PERDANA MENTERI MENGENAI COVID-19
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, saudara-saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi.
Malam ini, sekali lagi saya berada di hadapan saudara-saudari sekalian untuk memaklumkan situasi semasa ancaman wabak Covid-19 yang telah menimbulkan kebimbangan bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh dunia.
Sehingga kini, wabak Covid-19 telah merebak di 135 buah negara. Seramai 162,711 orang telah disahkan positif Covid-19 di seluruh dunia. Daripada jumlah ini, seramai 6,443 orang telah meninggal dunia.
Di Malaysia, telah berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak, iaitu 190 kes semalam, disusuli 125 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti wabak ini adalah sebanyak 553 orang.
Daripada jumlah tersebut, seramai 511 orang sedang dirawat di hospital, manakala 42 orang telah pun pulih.
Source from Kenyataan Akhbar KPK 

Kerajaan memandang serius situasi semasa ancaman virus berbahaya ini terutama perkembangan gelombang kedua. Keutamaan Kerajaan pada masa ini adalah untuk mencegah penularan baharu wabak ini yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat. Situasi semasa wabak ini memerlukan tindakan drastik diambil bagi memulihkan keadaan secepat mungkin.
Untuk itu, Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 Mac 2020, iaitu esok hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara. Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Perintah Kawalan Pergerakan ini meliputi;


  1. Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian. Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020
  2. Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self quarantine) selama 14 hari;
  3. Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara;
  4. Penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti;
  5.  Penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara; dan
  6. Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.



Saya sedar bahawa saudara-saudari mungkin merasakan bahawa tindakan yang diambil oleh Kerajaan ini menimbulkan kesulitan dan kesukaran untuk saudara-saudari menjalani kehidupan seharian. Namun, tindakan ini mesti diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang berkemungkinan meragut nyawa rakyat negara ini.
Kita telah melihat peningkatan wabak Covid-19 secara mendadak daripada puluhan orang yang dijangkiti virus ini kepada ribuan orang dalam masa yang singkat di beberapa buah negara lain. Sudah pasti saudara-saudari tidak mahu keadaan yang sama berlaku di negara kita.
Kita tidak boleh menunggu lebih lama sehingga keadaan menjadi lebih meruncing. Tindakan drastik perlu diambil dalam kadar segera untuk menyekat penularan wabak ini dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai. Inilah satu-satunya cara untuk kita mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini dijangkiti wabak yang boleh meragut nyawa.
Saya harap saudara-saudari dapat bersabar menghadapi dugaan ini. Jangan panik, jangan cemas, dan sentiasalah bertenang. Saya percaya dengan langkah-langkah sekatan pergerakan yang dilaksanakan oleh Kerajaan, kita mampu menyekat penularan wabak ini dalam masa yang terdekat.

Kita telah melihat beberapa buah negara yang mengambil langkah yang agak drastik untuk mengawal penularan wabak ini seperti negara China yang telah menunjukkan penurunan mendadak kes-kes jangkitan Covid-19.
Saya juga ingin memberi jaminan bahawa bekalan bahan-bahan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan termasuk topeng muka adalah mencukupi. Saya telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna agar sentiasa memantau situasi bekalan makanan dan keperluan harian di pasaran sepanjang tempoh Perintah Kawalah Pergerakan ini berkuatkuasa.
Saya merayu kepada saudara-saudari agar sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini. Ini adalah tanggungjawab kita bersama yang mesti kita laksanakan sebagai rakyat yang prihatin terhadap keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita.
Saya juga ingin memaklumkan bahawa Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara akan bermesyuarat setiap hari untuk memantau dan mengawasi situasi wabak Covid-19. Saya sendiri akan mempengerusikan mesyuarat ini dan memaklumkan kepada saudara-saudari perkembangan situasi wabak Covid-19 dari semasa ke semasa.

Jika saudara-saudari mempunyai sebarang pertanyaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan, saudara-saudari boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara di talian hotline 03-88882010 bermula jam 12 tengah hari.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas kesihatan, penjawat awam dan semua pihak yang telah bertungkus-lumus bekerja siang dan malam untuk membendung wabak ini.
Saya berdoa agar saudara-saudari sekalian terus cekal dan tabah dalam menjalankan tugas untuk negara demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negara ini sentiasa terpelihara.
Akhir sekali, saya berdoa agar saudara dan saudari sekalian sentiasa diberikan perlindungan oleh Allah S.W.T.
Wabillahitaufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Resource taken from TheStar.my
Pics various from Google, The star, RTM , Bernama sources. 


*Apa yang buka dan apa yang tutup, adakah lebih kurang begini untuk lebih memberi pemahaman yang jelas sebab ramai yang keliru* 

1. Supermarket, Pasar basah, 7Eleven, Speedmart 99, KK Mart, kedai runcit
--
BUKA.

2. Pejabat Pos, TNB, Air, Balai Polis, Balai Bomba, Bank, Bursa Saham
-- BUKA.
3. Kelab golf, bar, pub, kelab sosial, kelab malam, rumah urut
--
TUTUP.
4. Workshop, kedai gunting, warung, restoren, pasar malam, kedai rambo di tepi-tepi jalan
-- TUTUP.
5. Kenduri kahwin, kenduri bersunat, kenduri akikah, kenduri cukur jambul, kenduri arwah dan apa-apa jenis kendurilah yang melibatkan aktiviti berkumpul
--
BATAL.
6. Kedai handphone, kedai gadget, kedai hardware, kedai kamera, kedai baja, kedai racun lalang
--
TUTUP.
7. Masjid, kuil, tokong, gereja, surau, pejabat kadi
--
TUTUP.
8. Crematorium, Tanah Perkuburan, Klinik, Hospital, Farmasi
--
BUKA.
9. Kedai baju, kedai handbag, kedai emas, kedai kasut, kedai reflexology
--
TUTUP.
10. Kedai nombor ekor, kasino, spa, gymnasium, kedai snooker, kedai game
--
TUTUP.

 Sekian, diharap dapat membantu anda semua ðŸ˜Š  
Thank you to all essentials services staff for your service.



SOALAN LAZIM (FAQ’s) mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order) 

1. Nama Perintah : Perintah Kawalan Pergerakan (Movement Control Order). 

2. Tempoh Masa Perintah ini berkuatkuasa dari 18 – 31 Mac 2020. 

3. Liputan Kawasan Perintah Perintah ini terpakai di seluruh Malaysia. 

4. Kuatkuasa Undang-undang Perintah ini disandarkan pada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. 

5. Arahan-Arahan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Terdapat 

6 arahan yang terkandung dalam Perintah Kawalan Pergerakan ini iaitu 
i. Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya; 
ii. Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara; 
iii. Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara; 
iv. Penutupan semua Taska, Sekolah Kerajaan dan swasta dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti; 
v. Penutupan semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swata serta Institut Latihan Kemahiran di seluruh negara; dan 
vi. Penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (essential services). 


6. Adakah Majlis Keraian/ Perkahwinan/ Kenduri atau sebagainya boleh diadakan? 
Upacara pernikahan boleh dilaksanakan dengan tidak melibatkan kehadiran ramai. Bagi Majlis Persandingan dan Resepsi serta majlis lain, disarankan untuk ditangguhkan sehingga isu penularan COVID-19 di Malaysia tamat. 

7. Adakah Perintah Kawalan Pergerakan mempunyai tempoh waktu tertentu sepanjang 18 - 31/3/2020? Tidak. Perintah ini berkuatkuasa setiap masa tanpa tempoh waktu tertentu. 

8. Sekiranya barang keperluan habis, adakah boleh keluar membeli dan terus balik?
 Ya. 

9. Saya merupakan seorang warganegara Malaysia dan suami saya merupakan warganegara UK. Adakah kami dibenarkan pulang ke Malaysia dalam tempoh sekatan ini? 
Boleh dengan syarat pasangan boleh membuktikan kesahan perkahwinan tersebut sama ada didaftarkan dengan Kerajaan Malaysia atau Kerajaan negara asal. Pasangan perlu melaksanakan pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela (self quarantine) bagi mengurangkan kebarangkalian dijangkiti atau menyebarkan jangkitan kepada orang lain. 


1
0.Anak saya yang merupakan seorang pelajar di institusi luar negara. Adakah beliau dibenarkan pulang ke Malaysia? 
Dibenarkan. Mana-mana rakyat Malaysia yang sedang berada di luar negara boleh pulang dalam tempoh sekatan ini. Walau bagaimanapun, individu tersebut perlu melaksanakan pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela (self quarantine) bagi mengurangkan kebarangkalian dijangkiti atau menyebarkan jangkitan kepada orang lain. 

11.Saya merupakan pemegang pas jangka masa panjang di Malaysia dan telah pulang ke negara asal saya sebelum Perintah ini dikeluarkan. Adakah saya dibenarkan untuk kembali ke Malaysia bagi tujuan kerja semasa tempoh sekatan ini? 
Hanya migran asing yang bekerja di dalam sektor perkhidmatan penting negara (essential services) sahaja yang dibenarkan masuk semula ke Malaysia dalam tempoh sekatan ini. Migran asing tersebut perlu mendapatkan satu surat pengesahan daripada majikan masing - masing dan perlu dikemukakan kepada Jabatan Imigresen Malaysia semasa berada di pintu masuk. 

12.Saya bekerja di Singapura. Adakah saya dibenarkan untuk berulang alik ke pejabat di Singapura? Tidak. Perintah Kawalan Pergerakan adalah terpakai kepada semua individu yang berada di dalam negara. Dalam hal ini, atas dasar keselamatan komuniti, mana-mana individu yang bekerja di negara jiran tetapi tinggal di Malaysia adalah tidak dibenarkan untuk keluar masuk secara harian dan dipohon untuk memaklumkan kepada majikan masing - masing berkenaan perkara ini. 

13.Saya telah membuat perancangan untuk bercuti di Malaysia dan telah membuat pembayaran sepatutnya. Adakah saya masih boleh meneruskan percutian saya? 
Di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, orang ramai dilarang untuk pergi ke mana-mana tempat termasuklah pusat peranginan untuk aktiviti sosial dan sekiranya kunjungan tersebut tidak melibatkan perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan penting negara. Anda dinasihatkan tidak meneruskan percutian anda.  

14.Bolehkah saya memandu ke lapangan terbang untuk mengambil rakan yang baru pulang dari luar negara atau saudara yang bekerja dalam sektor berkaitan perkhidmatan penting negara? 
Pergi ke satu tempat dengan cepat dan ringkas adalah dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan. 

15.Adakah sekolah perlu melaksanakan kelas ganti? 
Tidak perlu. 

16.Adakah kelas pengajian dan semua aktiviti yang melibatkan pelajar IPT awam dan swasta serta Institut Latihan Kemahiran tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan? 
Ya. 

17.Bagaimana dengan pelajar yang menginap di fasiliti IPT awam dan swasta khususnya pelajar luar negara? 
Semua pelajar IPT awam dan swasta perlu diarahkan kembali ke kediaman masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Pelajar luar negara dinasihatkan pulang ke negara asal dalam tempoh ini. Pelajar yang pulang ke negara asal tidak dibenarkan kembali ke Malaysia sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa. Pelajar asing yang mengambil keputusan untuk terus berada di negara ini dan menginap di fasiliti IPT awam dan swasta perlu melapor kepada pihak pengurusan IPT dan tertakluk kepada Perintah yang berkuatkuasa. 

18.Adakah kedai makanan seperti makanan segera, restoran atau pusat makanan penjaja boleh dibuka? Kedai makanan boleh dibuka tetapi hanya untuk makanan yang dibawa pulang sahaja atau melalui perkhidmatan penghantaran oleh syarikat tertentu seperti Grab Food atau Food Panda.  

9.Adakah pengangkutan awam seperti Bas, LRT, MRT, KTM boleh beroperasi? 
Semua perkhidmatan pengangkutan awam diteruskan dalam tempoh perintah kawalan ini berkuatkuasa. 

20.Saya telah membayar penginapan saya di hotel untuk bercuti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan. Adakah saya boleh meminta wang saya dikembalikan? 
Orang ramai digalakkan untuk berbincang terus dengan pihak hotel dalam urusan pengembalian wang yang telah dibayar bagi tempahan yang telah dibuat sebelum Perintah ini diumumkan. 

21.Sekiranya berlaku kematian di rumah (bukan pesakit Covid-19), adakah solat jenazah dan tahlil dibenarkan? 
Boleh diuruskan dengan waris terdekat sahaja bersama khariah masjid/surau sahaja. Solat jenazah sahaja tanpa tahlil. 


RESOURCE FROM : MAJLIS KESELAMATAN NEGARA 2.10 PM | 17 MAC 2020

HARAP INFORMASI INI DAPAT MEMBANTU ANDA UNTUK MENGURUSKAN PERKARA HARIAN ANDA DENGAN LEBIH EFEKTIF DAN SELAMAT.


Jaga diri semua. Jaga kebersihan dan kesihatan masing-masing. Pastikan anda duduk dirumah sahaja jika tiada urusan penting. Kurangkan aktiviti di luar. Pantau anak-anak anda. 😊

Social Distancing = Penjarakkan Sosial. Jurangkan dan kurangkan 'contact' berdekatan dengan orang luar. 

Stay Safe ! Stay Healthy and Let us all pray that this virus will subside soon. InsyaAllah. 💓


THANKS, 

LOVE & REGARDS,


Zazasters a.k.a MamaMonster👻